May 12, 2012 2 comments By: Nafsah Dulajis

Dari Salina Ke Langit Petang


Malaysia, 16 Januari 2012.

Pagi Isnin.

Saya masih bermalas-malasan, sedang matahari sudah naik meninggi. Hari cuti barangkali peluang untuk merehatkan tubuh, meski minda terkadang seakan tidak mahu berehat. Memikir masalah nuklear negara lagaknya.

Pintu dibuka tiba-tiba, adik perempuan saya dari tingkat bawah terjengul di muka pintu sambil membawa sesuatu.

“Nah!” tangan kanannya menghulurkan sebuah bungkusan Pos Ekspress kepada saya. Bungkusan bertukar tangan.

Eh, cepat pulak barang Han sampai, hati menduga sendiri. Kotak Pos Ekspress digoncang sambil telinga didekatkan padanya. Novel! Hati menjerit sendiri, sambil senyum gembira. 

Entah, barang orang; dia pula yang happy.  ^___^Y

Kotak kecil itu diteliti lagi. Nama saya yang tertera di atasnya dibaca, kemudian kotak dipusing ke belakang. Tertera nama si pengirim. 

Dari Selangor! Mata dibeliakkan sedikit.

Eh, bukan Han punya. Memang untuk sayalah!


Dua buah buku hasil tangan Sasterawan Negara dikeluarkan dari sampul.

Saya pernah meminati A. Samad Said (Pak Samad) pada usia seawal 12 tahun.

Dia tahu.

Dan saya pernah bercita-cita untuk menjadi sasterawan negara seperti beliau ketika berada di sekolah rendah. Pasti, ada antara teman yang mentertawakan saja cita-cita tinggi melangit itu.

Dia mengerti.

Sebab itu dia mengirimkan hadiah mengejut ini. Autograf penulis di helaian pertama buku juga menjadi nilai tambah buat buku tersebut, lantas menjadikannya lebih ‘mahal’.

Selain buku Aku Terima Nikahnya hadiah dari jiran saya yang punya autograf ustaz Hasrizal di atasnya, saya tidak punya buku lain yang punya tandatangan penulis buku itu sendiri.

Saya mula berkira-kira untuk menghubungi si pengirim. Sengaja tidak memberitahu saya sebelum mengirimkan hadiah tersebut. Surprise kononnya. Nakal!

‘Dari Salina ke Langit Petang’ dan ‘Ilham Di Tepi Tasik’ itu hadiah hari lahir yang kian lama tertunggak katanya. 

‘Salina’ seingat saya adalah antara tulisan terkenal Pak Samad, selain tulisan beliau yang lain—saya sendiri sudah kurang ingat—yang mengangkatnya sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1985. Baru membaca dua tiga helai tulisan beliau, saya merasa seolah terbang semula ke alam kanak-kanak saya. Coretan ‘orang lama’, tentu lenggoknya amat berbeza dan penuh ketenangan. Tulisannya menyentuh rasa, membuatkan tumbuh senyum lebar ke telinga milik saya.

Andai dihadiahi dengan buku sebagai hadiah hari lahir setiap tahun juga saya tidak pernah akan bosan apalagi mengeluh.

Kerana saya hidup bersamanya. Membesar dan bernafas bersamanya. Dan ingin mati bersama ‘buku’ di dalam dada juga, insyaAllah.

Memang, membaca dan menulis menjadi antara kegemaran utama saya. Tulisan paling awal pernah saya nukilkan (selain karangan wajib di sekolah) adalah ketika berumur sembilan tahun.

Kalau orang lain mungkin melakukannya kerana minat. Tetapi saya, mungkin saya lahir bersamanya. Ada keresahan yang bakal lahir seandainya jari tidak mencoret apa-apa (meskipun hanya di atas diari peribadi) dalam jangkamasa yang lama. 

It runs in the blood. And I’ll never stop.

Tetapi saya yakin semuanya bermula dengan membaca. Tidak mungkin seorang penulis yang baik sekadar membaca karya-karya picisan dan menulis mengikut seleranya tanpa mementingkan fakta.

Kalau fiksyen lain cerita. Apalagi cerita imaginasi yang memang dirangka dengan niat untuk lari dari realiti.

Saranan membaca memang arahan agama. Isunya kini bahan bacaan yang bagaimana menjadi pilihan kita?

Genre bahan bacaan yang kita ikuti pastilah mengalami evolusi semenjak kecil sehinggalah dewasa kini. 

Kalau dulu, karya Pak Samad selalu mempesonakan saya.

Bermula dengan kisah penyiasatan kanak-kanak, konflik kekeluargaan dan cerita kemasyarakatan, serta kisah cinta remaja juga karya pemikiran dan falsafah yang lebih serius; semuanya punya tempat yang istimewa di bahagian depan otak saya.

Tetapi akhir-akhir ini (lebih tepat lagi, semenjak menjadi pelajar perubatan sebenarnya) bahan bacaan yang saya pilih lebih berbentuk ilmiah. Fakta. 

Saya percaya, bahan bacaan yang saya pilih semenjak kecil lagi membentuk pemikiran dan diri saya pada hari ini.

Kalaupun tidak semua, impaknya ternyata ada.

You are what you read. Setuju angkat kaki! 

Terima kasih atas hadiah buat sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Teruskan perjuangan dan semoga Allah sentiasa bersamamu!


Sedikit untaian kata daripada sasterawan negara keempat ini untuk sama-sama kita rasa…

“Aneh sekali, pernah saya temui orang yang membaca sekadar suka membaca, tidak menghiraukan apa yang boleh dipetik daripada pembacaannya itu.
Seseorang penulis atau bakal penulis perlu membaca sebanyak-banyaknya. Saya yakin, untuk melahirkan sesuatu yang besar dan BERMUTU, seseorang penulis perlu pula membaca—lebih-lebih lagi meneliti— sesebuah buku yang bermutu. Tidak ada cermin yang jujur yang baik di depan, kita tidak nampak akan diri dan kemampuan kita yang sebenar.
Sebanyak mana pun dia menulis—jika akar pengetahuan dan perbandingannya tidak ada—dia tetap akan menggelongsor dan akhirnya tercicir.
Walaupun tidak semestinya orang yang rajin membaca akan menjadi penulis, tapi orang yang tidak membaca TIDAK AKAN menjadi penulis, kecuali dia memperolehi anugerah luar biasa sejak lahirnya.”
-Abdul Samad Said (A. Samad Said)- Dari Salina ke Langit Petang-

Sehari sebelumnya kebetulan saya bertemu sanak-saudara dan memandangkan Tahun Baru Cina hampir tiba, fortune cookies memenuhi rumah (lupakan cerita bagaimana fortune cookies boleh naik ke rumah, lebih kurang dengan kisah limau mandarin agaknya. Tidak, keluarga saya tidak menyambut Tahun Baru Cina) dan kami menikmatinya bersama-sama.

Pertama kali nampaknya memakan biskut ini, sebelum ini saya sekadar mengetahui namanya. Oh, dalam biskut ini ada nota yang menunjukkan ‘nasib’ kita pada tahun tersebut (barangkali). Bukan sebarang biskut, sebab tulah nama dia fortune cookies!

Jadi saya sekadar mengambilnya sebagai hiburan, dan bukannya mempercayainya.

Selepas mematahkan biskut tersebut, saya membaca kertas yang terdapat di dalamnya. Senyum.

Yeap, that’s me!

Cukup perkongsian tentang Salina dan Pak Samad, kisah fortune cookies juga post saya yang terang-terangan banyak melanggar hukum tatabahasa (dengan niat).

Jangan takut bercita-cita tinggi, kerana hanya insan pesimis yang melihatnya sebagai angan-angan!
Mar 30, 2012 4 comments By: Nafsah Dulajis

Lakaran Jiwa

“Chaq, saya perlukan kata-kata perangsang daripada awak.”

Mesej yang masuk dibaca penuh simpati. Hakikatnya saya belum mengetahui lebih lanjut apa yang dialami si pengirim mesej. Tapi zahirnya saya menduga bahawa bebanan tanggungjawab dan mungkin masalah yang menimpa membuahkan resah.

Usai sebaris dua perkataan saya hadiahkan buatnya tanpa mengetahui punca keresahan sebenar, dia beransur lega. Malahan tersenyum dengan dorongan berbentuk perkataan yang diterima.

Alhamdulillah!

#YeahiDidThat

Dalam timbunan kesulitan yang menimpa diri, ditambah dengan curahan masalah yang menjadi aduan sang teman, sungguh hati terkadang merasa terbeban. Itu sudah tentu!

Pernah seharian saya memikirkan perihal seorang teman, sehingga ia agak menghantui ruang fikiran dan akhirnya menjadi beban di dalam dada. Agaknya itulah yang dirasai para kaunselor yang bukan sekadar menjaja simpati pada perkataan, tetapi juga empati pada tindakan.

Kerana iman yang menjadi asas persaudaraan itulah menjadikan masalah teman adalah masalah bersama.

Sekuat mana pun manusia, tetap ia punya sepasang mata yang mampu mengalirkan air jernih kerana hati yang terluka. Mana mungkin untuk menafikan fitrah kejadian manusia sedemikian hanya kerana kesombongan atas kelemahan diri?

Manusia itu tidak akan terlepas dari fitrahnya yang sudah diciptakan Allah. Sungguh benarlah firmanNya:

“Manusia itu diciptakan berkeadaan lemah.”

(An-Nisa’:28)

T___T

Menangis bukan tanda bahawa kita lemah. Bahkan menangis membuktikan bahawa kita manusia yang masih punya rasa, masih bisa terluka!

Berdua-duaan menghamparkan jiwa di hadapan Yang Maha Esa dengan membisu seribu bahasa ditemani air jernih yang membasahi muka sungguh mampu memberikan satu rasa.

Didengari dan dikasihani.

Saya kira Dia terlalu cemburu kerana tidak membenarkan saya mengalirkan air mata di hadapan manusia, sehingga insan di sekeliling merasa saya cukup kuat lantas menumpahkan air mata di hadapan saya pula.

Tidak mengapa. Saling menguatkan sesama kita, kerana ada harinya pula saya bakal berada di bawah. Hidup berselang-seli antara sedih dan gembira; sememangnya itulah aturan kehidupan yang ditetapkanNya. Asal saja tidak berlanjutan sedih atau keterlaluan gembiranya.

Sungguh, dunia ini hanya sementara.

Dan yang membuatkan manusia menangis dan tertawa itu adalah Dia.

Terkadang lucu dengan karenah diri sendiri, dan kaum Hawa yang lain pastinya; apabila hampir pasti dalam sebulan itu terjadi pergolakan dalam jiwa yang membangkitkan rasa marah dengan cukup mudah. Tidak gembira tanpa sebab yang munasabah, atau mudah tertekan dengan permasalahan picisan cuma.

Alasannya?

PreMesntrual Syndrome atau PMS!

Rahsia kejayaan…^__^

Demikianlah lakaran jiwa insan yang telah dipilihNya untuk menjadi kaum Hawa. Kata dunia mereka lemah kerana mudah mengalirkan air mata.

Bagi saya kaum Hawa cukup kuat dan mengkagumkan, buktinya pada airmata darah yang tumpah kerana tabah melahirkan si kecil usai dikandungkan 9 bulan dengan penuh susah payah.

Duhai kaum Adam, mampukah anda melakukannya?

Terus menikmati hidup yang berbaki sebentar cuma, dengan lakaran jiwa yang diterjemah melalui sejuta bahasa.

Bahasa cinta buat Pencipta!

Jan 10, 2012 2 comments By: Nafsah Dulajis

Nota Buat Diri


“Waktu belajar adalah tempoh berbuat kesilapan. Kerana kesilapan pada waktu bekerja adalah sukar dimaafkan. Dan paling penting, dah tak boleh ‘undo’ masa tu.”

Mata dicelikkan seketika mendengar nasihat itu. Betul! Kesilapan dalam tempoh belajar masih punya pembetulan sebagai penyelesaiannya. Tetapi kesalahan dalam tempoh bekerja, yang tinggal hanyalah hukuman.

Ironinya kita (baca: saya) sangat takut pada kesilapan itu sendiri, sehingga ia menutup peluang belajar yang lebih besar. Bukankah ramai orang belajar dari kesilapan, yang akhirnya membuahkan kemajuan?

Kerapkali juga dalam memberi pendapat, kita sering merasa bahawa hanya ada satu saja pendapat yang benar sehingga timbul ketakutan untuk memberi pendapat yang lain. Seandainya demikian, nescaya ia tidak akan digelar ‘PENDAPAT’ sebaliknya ‘FAKTA’ lantaran hanya ada satu kebenaran. Berbeza halnya dengan pendapat, mungkin saja pendapat yang berbeza-beza sama-sama benar, cuma ketepatannya tidak sama. Dan aplikasinya realistik dalam keadaan yang berbeza pula.

Akibatnya kita sempit dada pada pendapat lain yang ada dan cuma memandang benar pada pendapat masing-masing sahaja. Perbezaan tidak semestinya membawa kepada permusuhan, belum cukup matangkah kita dalam mendepani kepelbagaian?

Menjadi tua itu satu ketetapan, sedangkan meningkat dewasa itu satu perjuangan!


Kalendar Masihi berubah lagi, kali ini tahun yang punya 366 hari menjadi saksi. Cita-cita yang mesti ditanam di hati harus diingatkan berulang-kali agar tidak lalai mencapainya.

Membangunkan Khilafah Islamiah agar mampu mentadbir dunia dengan agama, itu cita-cita di dunia.

Kerananya kita bekerja menjadi kuli. Kerananya kita berhempas-pulas mengorbankan itu dan ini. Kerananya kita berpenat-lelah ke sana-sini.

Apakah realisitk cita-cita membangunkan Khilafah Islamiah yang musnah hampir 90 tahun yang lalu dalam keadaan kita kurang pada serba-serbi?

Ingatlah bukan kita yang memulakan perjuangan meneruskan penyampaian risalah para Nabi, moga dengannya kita tidak merasa berat dan menanggung segalanya di bahu sendiri. Dan ingatlah juga bahawa bukan kita yang bakal mengakhiri perjuangan ini, kerana generasi selepas ini akan lahir dengan perkakas yang sudah kita sediakan untuk menjadikan kalimah Allah itu yang tertinggi.

Barangkali kemenangan Islam tidak terjadi di tangan kita mahupun di zaman kita, pastilah mind setting sebegini melepaskan kita dari rasa kecewa kerana bukanlah kemenangan yang jadi tujuan utama.

Yang menjadi kekalahan paling besar ialah apabila kita enggan berjihad dengan harta dan jiwa untuk mengangkat kalimah Allah, ternyata kita sudah sedia kalah sebelum berperang.

Menggapai mardhatillah dan meraih syurga Allah, kemenangan besar di akhirat nanti sebagai cita-cita paling tinggi.

Ada yang berpendapat bahawa ibadah kerana mengharapkan syurga itu salah. Ibadah berharap balasan itu tandanya tidak cinta.

Saya berpendirian sebaliknya.

Berapa banyak ayat Allah yang mengkhabarkan akan keindahan syurga dan janjiNya ke atas Mukmin yang soleh tentang ganjaran tersebut? Dan berapa kali pula Dia menitahkan agar orang beriman itu digembirakan dengan syurga sebagai balasan? Begitu juga dengan gambaran azab yang menakutkan andai memilih jalan kesesatan?

Bukanlah ibadah mengharap balasan dan takutkan azab itu tanda ketidakikhlasan atau tidak cinta, tetapi syurga dan neraka itu juga fungsinya sebagai motivasi hidup di dunia. Bukankah jahil namanya menolak pemberian Raja yang memerintahkan berbuat baik dan sedia memberi ganjaran andai berjaya?

Moga kedua-dua cita-cita ini tidak dilupakan dan tercicir dengan mudah, hanya kerana terpautnya hati pada dunia.


Allah telah memilih kita untuk menggalas beban ini, inilah nikmat yang amat patut dijaga dan dipelihara. Kerana Islam sekali-kali tidak memerlukan kita untuk memperjuangkannya, sebaliknya kitalah yang sentiasa perlu memperjuangkan Islam untuk meraih redha Allah.

Andai kesempitan rezeki kerana menyatakan yang benar itu menjadi satu ketakutan, berapa ramai mereka yang disempitkan rezekinya sedangkan mereka tidak berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Allah menyempitkan dan meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya.

Jika ketakutan dihina atau dipenjara di dunia kerana menghentam kebatilan itu menjadi kegusaran, cubalah lihat apakah semua insan yang berada di penjara itu berjuang menyongsang arus kezaliman?

Dakwah bukanlah hobi, yang dilakukan bila ada kelapangan dan bila saja hati berkenan. Andai mentari di tangan kanan Nabi dan rembulan di tangan kiri Baginda, nescaya tidak akan ditinggalkannya kerja dakwah ini sehinggalah maut menjemputnya ataupun kemenangan dikurniakan Ilahi.

Dan kita yang tidak punya darjat di sisi Tuhan apatah lagi?

1001 alasan mudah diperolehi untuk meninggalkan perjuangan menegakkan Islam, hina sekali apabila cinta dunia itulah yang menggelincirkan diri.

Sering kemewahan itu dipandang baik. Andai ia menjauhkan lagi kita daripada Allah, apakah ada lagi kebaikan yang tertinggal padanya?

Barangkali kemasyhuran itu dipandang mulia. Andai ia membuatkan kita lupa kepadaNya, nyata tidak ada faedah lagi padanya.

Jauhkanlah kemewahan dan kemasyhuran itu daripada kami, kerana kami tidak berhajat padanya andai ia bakal menjauhkan kami dariMu. Noktah!

Kerana itu kita memohon KEBAIKAN (hasanah) di dunia dan di akhirat yang hakikatnya dalam lingkungan ilmu Allah, doa lengkap yang mencakupi segalanya. Kerana kita tidak pasti apakah kekayaan itu baik buat kita, boleh jadi ia menjadi mudarat saja.

Perbandingan dunia dan akhirat itu adalah seperti lalang dan padi.

Tanam padi, pasti lalang tumbuh sekali.

Tanam lalang, tentu tidak sudi tumbuh sang padi!

Dan hati, bacalah nota buat diri ini berulang-kali agar engkau tidak lupa mengapa engkau diutuskan ke sini.

P/S JazakAllah buat seseorang yang menginspirasikan tulisan kali ini. Semoga Allah merahmatimu.